Monday 4 July 2011

Selamat Datang Syaaban dan Semoga Berjumpa Lagi Rejab.

Rejab sudah meninggalkan kita dengan seribu satu kelebihan. Berbahagialah mereka yang mengambil sepenuh kesempatan dari fadhilatnya. Jika diizinkan Allah kita akan berkesempatan  bersama Rejab pada tahun hadapan.

Gambar dari Incik Google

Kini
muncul pula Bulan Syaaban yang merupakan bulan kedua selepas Rejab, dimana ia  penuh dengan keberkatan. Bulan Syaaban dianggap merupakan bulan yang baik untuk kita meminta keampunan daripada Allah, serta memperbaiki diri dari segala macam cela. Dan bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa kita. 


Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhlukNya.”

Syaaban bererti berpecah atau bercerai-berai. Ini kerana mengambil sempena peristiwa orang-orang Arab pada bulan tersebut berkeliaran ke merata tempat untuk mencari air. Ada pula berpendapat, Syaaban bermaksud pemisah iaitu pemisahan antara bulan Rejab dan Ramadan.

Nisfu Syaaban

Di dalam bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang penuh rahmat, iaitu Malam Nisfu Syaaban. Pada malam ke-15 bulan Syaaban ini, doa menjadi sangat mustajab.
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hari raya dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu.”
Untuk itu Umat Islam disarankan untuk menghidupkan malam ini dengan membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib. Namun demikian kita juga harus membacanya dengan tertib dan tenang, janganlah pula kita terkejar kejar untuk menghabiskan bacaan.
  • Bacaan pertama diniatkan mohon panjangkan umur dalam mentaati Allah, kemudian dibaca doa-doanya.
  • Bacaan kali keduanya dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkati-Nya, kemudian lalu dibacakan doa-doanya.
  • Kemudian bacaan ketiga pula serta diniatkan minta ditetapkan iman dan mati dalam iman, kemudian dibacakan doa-doanya.
Kelebihan Syaaban :

  1. Allah akan mengangkat darjat dan mengurniakan rahmat kepada hambaNya yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadah. Sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Allah mengangkat amalan-amalan semua hambaNya pada bulan ini.”  
  2.  Bagi hambaNya yang memenuhi bulan ini dengan amal ibadat, Allah memelihara mereka dari kemaksiatan.  
  3. Bahkan Allah juga akan menerima taubat dan melindungi mereka dari bala bencana. Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: “Barang siapa yang membesarkan Syaaban dan bertakwa kepada Allah swt  serta taat dan juga menahan diri daripada maksiat, Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan menyelamatkannya daripada segala bencana yang berlaku pada tahun itu, juga daripada sakit-sakit.”
  4.  Kasih dan ketaatan orang yang beribadat pada tahun itu terhadap Allah akan kekal.

Amalan-Amalan Bagi Meraikan Syaaban.

1) Berpuasa Sunat ;

Pada bulan ini kita digalakkan berpuasa sunat, Rasullullah s.a.w sendiri gemar berpuasa sunat di bulan Syaaban.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
“Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdal sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban” (Al-Hadis)

Dalam Kitab Durratun Nasihin dinyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda   bermaksud:  

“ Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari pertengahannya dan tiga  hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”
 
  •  Jika berpuasa sehari dalam bulan Syaaban akan diharamkan tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan nabi Yusof di dalam syurga. Diberi pahala seperti pahala nabi Ayub dan Nabi Daud.
  • Jika berpuasa sebulan  pada bulan Syaaban, dipermudahkan Allah kepadanya Sakaratulmaut dan ditolaknya (terlepas) daripada kegelapan dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup keaibannya di akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.
  • Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan akhir Khamis (juga dalam Syaaban) dimasukkannya dalam syurga .(Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab al-Barokah.)
2) Doa, Zikir dan Selawat ke atas Rasulullah s.a.w.

Kita digalakkan agar memperbanyakkan berdoa, berzikir dan juga berselawat pada Rasullullah s.a.w. pada bulan ini kerana ianya penuh dengan rahmat yang tidak terhingga.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)
 3) Bertaubat,

Kita sangat digalakkan untuk perbanyakkan bertaubat pada bulan ini. Ini bagi memperbaiki diri dari segala cela dan ia juga sebagai langkah untuk menyuci dan membersihkan jiwa kita, agar bersedia untuk menghadapi bulan Ramadhan yang penuh dengan kesucian.

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani) (Al-Hadis)

Gambar dari cikNurhafizaMusa
Oleh yang demikian, diharapkan kita sama-sama memperbanyakkan amal ibadat kita di sepanjang bulan Syaaban ini agar kita dapat memperbaiki diri kita dari kecelaan dan juga dapat mempersiapkan diri bagi menghadapi bulan Ramadhan nanti. Insyaallah (^_^)v


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...