Thursday 7 July 2011

Gadis Penjual Susu


Khalifah Umar al-Khattab adalah khalifah Islam yang ketiga. Beliau mempunyai sikap berani dan tegas. Beliau banyak membuat pembaharuan di negera Islam sepanjang pemerintahannya.

Khalifah Umar sangat prihatin dengan kehidupan rakyatnya. Pada waktu malam, beliau selalu masuk ke kampung-kampung untuk melihat sendiri kehidupan rakyatnya.

Suatu malam, Khalifah Umar berjalan bersama beberapa orang pembantunya dari satu kampung ke kampung yang lain. Apabila penat, mereka berehat dan menyandarkan diri di sebuah dinding rumah.



Ketika sedang berehat, Khalifah Umar terdengar suara seorang wanita di dalam rumah itu. Khalifah Umar memasang telinga untuk mendengar apakah yang diperkatakan oleh wanita itu.

“Anakku, ambillah susu yang hendak kita jual itu dan campurkan dengan air,” kata wanita itu.

“Ibu, saya tidak akan sekali-kali melakukan perkara seperti itu,” ujar anak wanita itu.

“Tidak mengapa. Penjual-penjual susu yang lain juga mencampurkan susu mereka dengan air. Pelanggan-pelanggan tidak akan mengetahui apa yang kita lakukan,” ujar ibunya.

“Ibu, perbuatan ini tidak baik. Bukankah Amirul Mukminin telah melarang orang-orang Islam untuk mencampurkan susu dengan air kerana perbuatan itu satu penipuan?”

“Apakah engkau kira Amirul Mukminin melihatmu sekarang?” Balas ibunya.

“Ibu, walaupun Amirul Mukminin tidak melihat tetapi Allah melihat apa saja yang kita lakukan.”

Mendengar kata-kata anaknya itu, wanita itu terdiam. Dia tidak berkata apa-apa lagi kerana apa yang diperkatakan oleh anaknya itu adalah perkara yang benar.

Suasana dalam rumah itu kembali sepi. Khalifah Umar dan pembantu-pembantunya yang sejak tadi mendengar perbualan itu bangun lalu beredar dari situ dan kembali ke Kota Madinah. Sepanjang perjalanan pulang itu, Khalifah Umar asyik memikirkan tentang perbualan antara ibu dan anak itu. Beliau berasa kagum dengan ketakwaan anak wanita tersebut.

Keesokan harinya Khalifah Umar menyuruh pembantunya yang bernama Aslam untuk menyiasat tentang keluarga yang tinggal di dalam rumah itu. Aslam mendapati rumah itu didiami oleh seorang janda tua yang miskin bersama seorang anak gadisnya. Pekerjaan mereka ialah menjual susu. Perkara itu pun dilaporkan kepada Khalifah Umar.

Khalifah Umar mahu menjadikan gadis yang bertakwa itu sebagai menantunya. Beliau pun memanggil putera-puteranya datang mengadapnya.

“Adakah antara kalian yang menginginkan seorang wanita untuk dijadikan isteri?” Soal Khalifah umar kepada anak-anaknya.

Anak Khalifah Umar yang bernama Abdullah menjawab, “Saya sudah mempunyai isteri.”

Anak Khalifah Umar yang bernama Abdul Rahman juga menjawab, “Saya pun begitu.”

Lalu berkatalah anaknya yang bernama Ashim, “Saya belum beristeri, maka kahwinkanlah saya.”

Khalifah Umar gembira mendengar persetujuan dari Ashim. Beliau lalu berdoa, "Semoga lahir dari keturunan kamu bakal pemimpin Islam yang hebat kelak yang akan memimpin orang-orang Arab dan ajam.”

Khalifah Umar kemudian mengirim utusan untuk meminang gadis tersebut lalu dikahwinkan dengan Ashim.

Ashim dan isterinya menjalani kehidupan bahagian dan mereka berdua sentiasa mentaati perintah Allah. Mereka kemudian dikurniai seorang anak perempuan bernama Laila atau panggilannya Ummu Ashim bin Ashim. Ummu Ashim kemudian berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan dan melahirkan Umar bin Abdul Aziz yang merupakan salah seorang khalifah Islam yang mahsyur kerana keadilan dan ketakwaannya kepada Allah SWT.

p/s : Diambil dari : Bacalah Sayang

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...