Friday 1 July 2011

Catatan Hidup



Sepertinya terlalu lama aku menunggu dijalanan ini hanya kerana kepinginan untuk merasa bakso. Diruang jalanan ini aku dan teman teman kepanasan di pancar sinar terik sang mentari, puas menahan satu persatu si teksi namun hampa semuanya keberatan untuk berhenti. 


Saat sabarku yang semakin menipis, dan kakiku melangkah ingin pergi,tiba tiba si teksi yang baik hati berhenti. Alhamdulillah ya Allah hanya itu yang muncul di hati kecilku. Senyum terukir di wajah kami bertiga.

Kebebasan kota hanya tinggal nama, perjalanan kami ingin merasa nikmat makan rupa rupanya terpenjara dalam kesesakan sang kereta. Bosan? Mungkin ya. Aku bosan melihat kerenah rakyat kota. Aku terdiam dalam berfikir, apakah rakyat kota hilang rasa toleransi, hilang pertimbangan, biadap dalam segala...Ohhh, aku masih terdiam hanya bisa membiarkan suara menjalar dalam hati. Rakyat kota ini terlihatnya begitu utuh, namun rupanya hancur berkeping dari dalam.

Aku melihat si teksi yang baik hati teragak agak ingin maju kehadapan atau sengaja menjadi teragak agak hanya kerana mahukan meternya bertambah wang? Oh, maafkan aku berprasangka yang bukan bukan. Lalu mataku menyorot kehadapan melihat sang kereta lain yang kejam, sungguh aku meluat dengan kerenah itu. Apa guna undang-undang merah itu andai mahu dilanggar, ya pemandu kejam dari sana terus menerus menyekat sang teksi yang baik hati untuk meneruskan perjalanan. Kejamnya dunia, dan aku di belakang terasa rimas, rimas dengan gelagat pemandu kejam dari arah sana. Meter terus berbunyi riang.

Masih, aku masih diam. Menatap hampa dari belakang. Menyedihkan melihat realiti bahawa manusia itu sememangnya adabnya jauh terkebelakang. Akhirnya kami tiba di destinasi pujaan, garis senyum terlukis di wajah wajah yang masam. Namun hatiku di ragut kesedihan, tatkala tambang dibayar sang rakan. Bukan kerana meter itu menunjuk pada angka 5 mahu pun 6 tapi meter kejujuran si teksi yang baik hati yang terus menjunam. Hanya kerana nilai kertas yang tak seberapa jujurmu entah kemana menghilang. Aku merenung tajam.

Lagu lagu keroncong dilagukan sang perut, indah kedengaran. Ya, inilah masa untuk mengisi kelaparan. Aku tersenyum tatkala teringat kelazatan bakso sebagai hidangan. Hati berbunga riang, aku dan teman teman meneruskan perjalanan meneruskan misi suci untuk makan. Alhamdulillah ya tuhan kerana memberikan kami keizinan.

Suasana yang hingar dengan kebisingan sang kenderaan tidak pernah menjadi penghalang, di suatu sudut di tepi jalan kami tersenyum menunggu giliran, menanti dengan penuh kesabaran saat ketibaan makanan yang di pesan. Pengunjung begitu ramai sekali, detik hatiku riang. Sudah tentunya dengan pelbagai ragam. Aku diam memerhatikan segala gelagat dan ragam orang.

Kerana aku diam, aku semakin mendengar. Jelas rungutan seorang rakan bila orang yang terkebelakang mendapat terlebih dahulu hidangan. Lalu aku simpulkan dalam hati buangkan saja sistem giliran. Akhirnya sampai jua hidangan. Alhamdulillah ya tuhan  kerana kurniakan kasih sayang.

Menikmati hidangan menyebabkan aku makin diam, sesekali bersuara bertanyakan rakan dan menyatakan kesedapan hidangan. Teruskan menjamu selera wahai rakan. Dek kerana aku yang kadang kadang berdiam menikmati makanan sesekali terdengar omelan yang dipaksakan, celoteh yang tiada variasi, mungkinkah kehilangan. Semuanya tertuju pada mereka yang berada di tempat makan.

Di suatu sudut, hilai tawa sekumpulan hawa menjadi halwa masam pada telinga. Ya, aku terganggu dengan hilai tawa tanpa rasa malu itu. Apa tiada perasaan malu pada hawa hawa di sudut sana sehingga berani ketawa mengalahkan sang pria? Aku bertanya tanya di dalam hati. Lalu aku simpulkan hawa hawa itu mau disedari kewujudan dengan keriuhan tawa mereka.. Oh, menyayat hati, simpan saja nilai tawa mu wahai hawa.

Masa berlalu, jam menunjukkan 1:30 tengah hari.....terlihat kelibat sang pekerja restoran yang semakin dibuai kesibukan..Begitu rajin sekali, untung sekali si majikan. Aku tersenyum, namun cuma sementara. Bukankah hari ini penghulu segala hari? ya, penghulu segala hari iaitu Jumaat. Ku lihat lagi sang pekerja yang asyik kesibukan, terlupakah mereka itu sang pria. Kewajipan pada yang Esa sepatutnya disegera....Hatiku sayu lagi...Menjadikanku sulit untuk menghargai kesibukan mereka....Terdetik dalam sanubari, apakah akidah mereka tergadai kerana sibuknya bekerja? Terlalu kejamkah majikan membiarkan perkara seumpama itu berlaku dikalangan pekerja? 

Lalu hati menyuruh berbaik sangka mungkin mereka bukan saudara seagama walau muka seakan aku. Ya berbaik sangkalah wahai hati. Aku tersenyum kelat bukan saja memikirkan perihal mereka tapi memikirkan diriku yang pernah juga melewatkan solat. Ya Allah ku mohon keampunan Mu.

Hati sebal penuh kekesalan, memikirkan kealpaanku sendiri yang akhirnya menjadikan sakit buatku. Lalu aku berlalu pergi bersama sang rakan meneruskan perjalanan. Ya Tuhan terima kasih kerana memberikan aku kesedaran begitu banyak kasih sayang yang telah Kau taburkan.

p/s : Aku menulis berdasarkan idea ketika makan di restoran ayam penyet. Beradasarkan apa yang berlaku sepanjang perjalanan aku dan benarlah kata seorang pujangga "sesungguhnya seluruh kehidupan adalah satu ujian."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...